Latihan Pasukan Tinju Sukma Selangor di Pusat Latihan Tinju MSD Petaling pada 30 September 2021. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
BERITA UTAMASELANGOR

Atlet Selangor kembali jalani latihan penuh dalam fasa tiga PPN

BANTING, 9 OKT: Semua atlet Selangor kembali menjalani program latihan penuh seminggu selepas negeri ini beralih ke fasa tiga pelan pemulihan negara, kata pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata latihan dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) antaranya menyukat suhu badan dan membuat saringan menggunakan kit ujian air liur sebelum memulakan sesi tersebut.

“Kita berharap dengan kelonggaran ini (latihan penuh), atlet akan lebih bersedia sekiranya diperlukan untuk menyertai sebarang kejohanan.

“Walaupun sebelum ini program latihan berjalan dengan kaedah pemantauan dalam talian, namun ia terhad kepada latihan kecergasan fizikal semata-mata,” katanya.

Beliau berucap pada program Hari Selangor Bersukan di padang paragliding, Bukit Jugra yang disempurnakan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman, hari ini.

Pada program itu, persatuan sukan, majlis sukan daerah serta pegawai dan atlet Sukan Malaysia (Sukma) menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM720,700 untuk pembangunan sukan termasuk persediaan memulakan latihan.

Mohamad Nizam berkata sumbangan itu membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa mengambil berat kebajikan penggiat sukan di negeri ini.

Selangor antara negeri yang terlibat dalam peralihan dari fasa dua ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet Sukma menjalani latihan persendirian di rumah melalui pemantauan dalam talian dan MSN Selangor menerima laporan prestasi setiap bulan.

Sebelum ini, persatuan sukan negeri turut menganjurkan beberapa program secara dalam talian seperti kursus dan webinar bagi memastikan atlet kekal aktif.


Pengarang :