Kerja kecemasan insiden paip pecah Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang mencapai tahap 74 peratus setakat jam 12 tengah hari 19 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Baiki paip pecah, kerja kecemasan capai 74 peratus

SHAH ALAM, 19 OKT: Kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang mencapai tahap 74 peratus setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kerja pembaikan dijangka siap pukul 6 petang ini dan bekalan air di 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat  bermula pukul 6.30 petang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Facebook memaklumkan pihaknya terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terjejas.

Keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang esok dan tempoh masa pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Semalam syarikat itu memaklumkan berlaku insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang dan susulan kejadian syarikat menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa di semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :