Kawasan kediaman yang dinaiki air susulan hujan lebat ketika tinjauan di Taman Al-Muizz Kampung Jalan Kebun Seksyen 30, Shah Alam pada 20 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banjir di Selangor makin pulih, hanya tiga pusat pemindahan dibuka

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Keadaan banjir di Selangor, Melaka dan Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di SELANGOR, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan sehingga 8.28 pagi tadi, jumlah PPS beroperasi di Sepang semakin berkurang daripada enam PPS yang dibuka semalam kepada tiga dan kini hanya menempatkan 55 mangsa daripada 15 keluarga.

Tiga PPS yang masih dibuka itu adalah di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (34 mangsa), Sekolah Rendah Agama Kampung Labu Lanjut (20 mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang kekal menempatkan seorang mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula terus menurun pada 8 pagi ini membabitkan 99 mangsa daripada 29 keluarga berbanding 305 mangsa daripada 83 keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata 38 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Di Alor Gajah, 34 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal, 19 mangsa daripada empat keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan lapan mangsa daripada tiga keluarga di PPS SK Telok Berembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 19 orang melibatkan enam keluarga dari dua kampung yang ditempatkan di dua PPS sejak kediaman dan tempat tinggal mereka dinaiki air pada Rabu lepas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, jumlah tersebut membabitkan sembilan lelaki dan 10 perempuan dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping dan Kampung Sungai Rentaka, Matang, masing-masing ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Temelok dan PPS Sekolah Kebangsaan Matang.

— BERNAMA

 


Pengarang :