Keadaan Kampung Labu Lanjut, Sepang ketika dilanda banjir kilat pada 21 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Banjir di Sepang semakin pulih, hanya dua PPS dibuka

SHAH ALAM, 24 OKT: Keadaan banjir di Sepang semakin pulih apabila jumlah mangsa dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semakin berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sepang berkata sehingga jam 4 petang tadi, hanya dua PPS dibuka iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Giching dan Balai MPKK Kampung Giching.

Menurut Khairi Azali Ibrahim terdapat tujuh keluarga di SRA Kampung Giching membabitkan enam lelaki dewasa diikuti wanita dewasa (lima), kanak-kanak (tiga) dan bayi perempuan (dua).

“Terdapat dua warga emas masing-masing satu wanita dan lelaki serta dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki turut berada di PPS sama.

“Di Balai MPKK Kampung Giching terdapat seorang lelaki dewasa yang masih ditempatkan di situ kerana disahkan positif Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Sepang berkata keadaan banjir semakin terkawal dan diminta penduduk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang situasi di luar jangkaan.

Pada 20 Oktober, tujuh kampung dan dua perumahan terjejas akibat hujan lebat sejak jam 1 tengah hari menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan.

Susulan itu sebanyak tiga PPS dibuka di Dengkil, Sepang susulan banjir kilat melanda di daerah itu.

Antara yang terlibat ialah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Manakala 100 rumah di Taman Dataran Abadi dan Kampung Labu Lanjut terjejas akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.


Pengarang :