Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bank Negara sedia bantu siasat isu Kertas Pandora, kata menteri kewangan

SHAH ALAM, 11 OKT: Bank Negara Malaysia sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk menyiasat pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan melibatkan beberapa nama besar.

Menteri kewangan berkata sebarang aktiviti mencurigakan akaun luar pesisir sentiasa dipantau bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan badan terlibat termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam.

“Kalau ada isu yang timbul inilah agensi bertanggungjawab, kalau ada isu perlu disiasat maka Bank Negara sebagai pihak berkuasa berwibawa bawah AMLA sedia bekerjasama dan panjangkan sokongan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkara itu dibahaskan kerana membabitkan kesan kewangan besar terhadap negara.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.


Pengarang :