Pembeli Rumah Idaman Warisan memegang replika kunci yang diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bantuan di hujung jari, 33 inisiatif buat rakyat sejak 2008

SHAH ALAM, 28 OKT: Hanya klik ssipr.selangor.gov.my warga Selangor boleh menikmati hasil kekayaan negeri yang diagih menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat, seseorang hanya perlu mendaftar dalam talian untuk memohon bantuan dan mengetahui serta-merta maklumat manfaat yang layak.

Menerusi IPR, tiada peringkat umur, jantina atau kaum terpinggir, dari bayi hingga warga emas, semuanya dibela. Syaratnya, mendaftar dalam Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat atau SSIPR selain ada kemudahan e-mel.

SSIPR dibangunkan bagi menguruskan data pengguna program IPR sebagai pusat sehenti. Tujuannya membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah memenuhi keperluan dan sara hidup yang semakin mencabar.

SSIPR juga direka dengan bentuk portal untuk memudahkan proses pendaftaran dan semakan permohonan.

Maklumat semua program IPR disimpan dalam data berpusat dan sedia dianalisis sebagai data raya secara masa nyata seterusnya memudahkan proses mengenal pasti kumpulan sasaran.

Pendekatan sedemikian memudahkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan memerlukan pada masa depan berikutan data disimpan secara sistematik.

Kakitangan pejabat DUN Batu Tiga menunjukkan kad khas kesihatan dan pengisian minyak “Shah Alam N41” pada Program Pendaftaran Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Meranti, Shah Alam pada 1 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi SSIPR, mana-mana rakyat yang berminat untuk memohon bantuan juga boleh menyemak syarat-syarat kelayakan melalui menu Inisiatif Peduli Rakyat.

Semua peringkat layak memperoleh hingga 33 manfaat merangkumi enam kluster membabitkan kebajikan, kekeluargaan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan dan perniagaan.

Maklumat penerima manfaat juga selamat disimpan di SSIPR mengikut undang-undang negara. Pemohon juga boleh mengemas kini maklumat bila-bila masa tanpa mengira lokasi.

SSIPR turut menyediakan kemudahan untuk pemohon memuat naik dokumen sokongan, bergantung kepada keperluan sesebuah skim tersebut.

Agihan bersepadu

Kerajaan Negeri sejak 13 tahun lalu berazam mengangkat kebajikan rakyat menerusi pengagihan semula hasil negeri kepada rakyat.

Sehingga kini, sebanyak 33 inisiatif dijayakan dengan jumlah kekayaan negeri melebihi RM1.8 bilion dikongsi bersama warga Selangor.

Seiring perkembangan internet, SSIPR mengaplikasi teknologi berkenaan demi memastikan seluruh rakyat terus dibantu secara berkesan.

Melaluinya, hasil kekayaan negeri diagih melalui pelbagai skim bantuan khusus untuk penduduk negeri secara bersepadu dan lebih teratur.

Inisiatif yang kerap mendapat perhatian ramai antaranya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), sebuah program kebajikan khusus bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Mereka yang layak berpeluang membeli barangan keperluan asas sehingga RM200 sebulan di kedai yang mendaftar secara tanpa tunai.

Salah seorang penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss). Foto ARKIB SELANGORKINI

Bagi mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS) ada diperkenal bagi memberi manfaat kepada 85,000 penerima polisi insurans.

Menerusi skim tersebut, pemegang polisi layak mendapat rawatan kesihatan asas setiap tahun dan perlindungan insurans asas meliputi kematian, kemalangan dan penyakit kritikal.

Bagi memastikan pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak ketinggalan dari arus pembelajaran, bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan turut dilaksana.

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang menawarkan empat mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sejarah terbuka kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Bagi penuntut institusi pengajian tinggi pula, pinjaman tanpa faedah menerusi Program Peduli Siswa diwujudkan untuk mereka yang mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kadar pinjaman bermula RM4,900 hingga RM7,000 setahun disediakan sehingga mereka menamatkan pengajian.

Dalam menghargai warga emas, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diperkenal melalui pemberian manfaat masa hidup sebanyak RM100 setahun dalam bentuk program Jom Shopping.

Bagi memastikan rakyat mempunyai kediaman, Kerajaan Selangor menerusi Skim Rumah Selangorku membantu mereka seawal usia 18 tahun untuk memiliki rumah sendiri.

Ringan beban

Dalam skim berkenaan, warga Selangor yang layak boleh memohon untuk memiliki premis sendiri bernilai tidak lebih RM250,000.

Situasi pandemik Covid-19 pastinya menjejaskan pendapatan peniaga kecil. Namun, Skim Hijrah Selangor sedia membantu meringankan beban mereka.

Melalui pelaksanaan sistem penyaluran modal tambahan yang berkesan, skim ini cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi masalah kekurangan modal.

Penerima memilih barangan keperluan harian ketika Program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang di Econmart Sungai Bertih Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketika sambutan perayaan, riak keceriaan pasti terpancar buat warga Selangor. Tidak kira Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali, mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah layak memohon Pemberian Bantuan Baucar untuk membeli keperluan perayaan.

Pengguna pengangkutan awam juga tidak ketinggalan menerima manfaat apabila perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor disediakan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menerusi 41 laluan seluruh negeri, perkhidmatan tersebut beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam.

Beban kehidupan rakyat terus diringankan Kerajaan Selangor berikutan penjajaran semula Progam Pemberian Air Percuma diluluskan pada 23 November 2018.Menerusi Skim Air Darul Ehsan, 20 meter padu air percuma untuk golongan berpendapatan bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

Program-program ini telah me-nyumbang terus kepada sebahagian besar rakyat Selangor. SSIPR telah mempergiat lagi liputan IPR supaya lebih banyak kekayaan dan hasil negeri dapat dikongsi bersama penduduk.

Ia selaras matlamat pentadbiran negeri masa kini untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman. Kebajikan rakyat tetap diutamakan di samping kualiti hidup dipertingkat agar rakyat hidup sejahtera.

 


Pengarang :