Mohd Saifuddin Rosli
AGENDANASIONAL

Bantuan kaki palsu beri sinar baharu buat bekas atlet para

KAJANG, 3 OKT: Masa depan bekas atlet para basikal Mohd Saifuddin Rosli seolah kembali cerah selepas menerima bantuan kaki palsu daripada Kerajaan Negeri menerusi program Ceria Atlet Para Selangor 2021.

Mohd Saifuddin Rosli berkata kejadian kemalangan motosikal yang dialaminya pada 2006 seolah satu detik hitam dan menganggap masa depannya sebagai atlet kian pudar.

“Alhamdulillah terima kasih Kerajaan Negeri bantu menyalurkan wang untuk pembedahan kaki palsu saya ini sebanyak RM19,800…jika harapkan duit sendiri mungkin sehingga kini belum ada.

“Syukur sangat sebab sekarang saya sudah boleh berjalan dengan selesa selepas empat bulan menggunakan kaki palsu ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program tersebut.

Exco Kerajaan Negeri, Mohd Khairuddin Othman menyampaikan cek cura kepada bekas atlet para ketika Majlis pelancaran ceria atlet para Selangor 2021 di Kampung Sungai Sekamat, Kajang pada 2 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas perancangannya selepas ini, Mohd Saifuddin berkata beliau bercadang mahu menyertai kursus kejurulatihan anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

“Yakeb pernah mempelawa saya menjadi jurulatih dan Insya-Allah selepas ini saya akan menyertai kursus itu disamping berusaha untuk kembali mengayuh,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Saifuddin pernah mewakili negara dengan pencapaian terbaiknya berjaya memenangi pingat emas di Kejohanan Basikal Para ASEAN 2012 di India.

Semalam, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menyumbangkan bantuan berjumlah RM195,450 kepada 50 atlet para menerusi program Ceria Atlet Para Selangor 2021.


Pengarang :