Air kembali pulih di Seksyen 7, Shah Alam setelah kerja naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 siap ketika tinjauan pada 15 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banyak tempat terima semula bekalan air, tiga wilayah pulih 100 peratus

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekalan air di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Shah Alam yang terlibat kerja naik taraf aset loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pulih sepenuhnya petang tadi.

Wilayah Kuala Selangor pulih 99.4 peratus, Petaling (98.9), Gombak (85), Kuala Lumpur (70.5) sementara Klang dapat bekalan hingga 50.4 peratus.

“Setakat jam 6 petang hari ini, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 85 peratus,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menjangkakan bekalan pulih sepenuh pada 9 malam esok, Air Selangor menjelaskan tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan air.

Syarikat itu turut menasihatkan pengguna yang menerima bekalan agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan lain berjalan lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.


Pengarang :