Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah susulan rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bapa Adib harap jawatankuasa khas ‘sungguh-sungguh’ siasat kes kematian

ALOR SETAR, 9 OKT: Keputusan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah berita gembira yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata penubuhan jawatankuasa itu disifatkannya memberi sinar baharu kepada keluarganya sejak sekian lama menantikan pembelaan bagi kematian anaknya itu.

“Ini menunjukkan kerajaan sudah mula mengambil berat dengan apa yang berlaku terhadap arwah. Perkara ini juga merupakan berita gembira buat seluruh negara kerana mereka juga tidak pernah putus berdoa untuk arwah dan keluarga saya.

“Tapi, apa yang saya harap ialah bila sudah tubuh jawatankuasa itu mereka yang terlibat perlulah bersungguh-sungguh, takut nanti senyap pula,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Kassim berkata penubuhan jawatankuasa khas tersebut memang ditunggu-tunggu sejak dulu lagi dan semestinya memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sentiasa merindukan arwah Muhammad Adib.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Jemaah Menteri, semalam memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya dapat dijalankan dalam kes kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya mengalami kecederaan parah ketika berada di lokasi kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.

-BERNAMA


Pengarang :