Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja ketika Progam Vaksinasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bapa lega anak hidap hipertiroid boleh ambil vaksin

BANGI, 1 OKT: Seorang bapa berasa lega dimaklumkan anak lelakinya yang menghidap hipertiroid layak menerima suntikan pelalian melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Meskipun sering dimomokkan keburukan vaksin terhadap individu berpenyakit, namun K Vijayan, 52, yakin suntikan itu mampu melindungi Marhiis, 17, daripada jangkitan wabak lebih serius.

Bapa tiga anak berkata anak bongsu yang menghidap penyakit itu sejak lahir begitu bersemangat untuk divaksin selepas kerajaan membenarkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun berbuat demikian.

K Vijayan. Fot HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini risau juga sebab ramai mengatakan vaksin kurang sesuai untuk individu mempunyai penyakit dan kalau antibodi tidak kuat akan ada kesan sampingan.

“Saya tidak peduli cakap orang. Lagipun, dia sendiri (Marhiis) mahu ambil vaksin. Malah, semasa sampai di kaunter konsultasi, saya memohon pencerahan daripada petugas berhubung perkara ini.

“Petugas memaklumkan anak saya boleh divaksin. Diharap segalanya berjalan lancar dan tidak mengalami kesan sampingan,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini semalam.

Sementara itu, Rosalisa Abd Wahid, 39, banyak membaca maklumat di internet dan media sosial berkaitan keberkesanan vaksin terhadap remaja sebelum meyakinkan dua anak lelakinya.

Rosalisa Abd Wahid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ibu empat anak itu berkata Aqeef Wafiy Mohd Azizi, 15, dan Adam Wafiq Mohd Azizi, 13, perlu mendapatkan suntikan pelalian kerana akan kembali ke asrama di Pusat Tahfiz Ibnu Abbas, Cheras tidak lama lagi.

“Pada awalnya was-was juga memandangkan ia (vaksin) benda baru untuk remaja tetapi saya banyakkan membaca dan selebihnya tawakal kepada Allah.

“Saya berharap keselamatan mereka lebih terjamin selepas ini dan dapat melakukan aktiviti seperti biasa di asrama. Pada masa sama turut menasihati mereka agar sentiasa mengamalkan langkah penjagaan,” katanya.

Mohamad Fairuz Ismail, 44, pula percaya vaksin mampu melindungi anak perempuannya Qistina Balqis, 16, daripada jangkitan wabak yang lebih serius kerana akan kembali ke sekolah Oktober ini.

Mohamad Fairuz Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Namun, saya berharap dia (Qistina) akan terus mengambil langkah kawalan sebab vaksin bukan ubat tetapi sebagai perlindungan,” kata bapa empat anak yang menetap di Bandar Baru Bangi.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.


Pengarang :