Yazid Aqeel Yusnin (kanan) bersama dua lagi rakan menerima suntikan vaksin di program Selvax Komuniti dan Remaja yang diadakan di Flora Damansara pada 30 Oktober 2021. Foto MUSTAKIM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bapa lega lepaskan anak kembali ke asrama selepas terima vaksin

PETALING JAYA, 30 OKT: Seorang bapa bersyukur dan lega apabila dua anak gadisnya menerima suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di Flora Damansara di sini, hari ini.

Peniaga, Azrul Basarudin, 42, berkata sebagai bapa perasaan bimbang itu ada memandangkan Nurul Fatiha Husna, 16, dan Nurul Falah, 14, akan kembali tinggal di asrama selepas ini.

Azrul Basarudin

“Saya mendapat maklumat program ini menerusi mahaad tahfiz di mana anak saya belajar. Mungkin anak-anak boleh jaga SOP (tatacara operasi piawai) tetapi kadang-kala di luar kawalan, jadi ini adalah satu inisiatif untuk keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Yazid Aqeel Yusnin, 14, datang bersama dua rakannya untuk memberi semangat antara satu sama lain bagi menghilangkan rasa gementar untuk menerima suntikan.

“Mereka datang bersama saya hari ini dengan diwakili ayah saya selepas ibu bapa mereka tidak dapat datang. Rasa gementar pun tiada bila bersama kawan-kawan sebaliknya rasa gembira dan semangat untuk terima vaksin,” katanya.

Chong Wilson

Bagi pelajar, Chong Wilson, 16, pula dia bersemangat untuk kembali ke sekolah dan menjalani sesi pembelajaran bersemuka selepas menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, dia lebih selesa belajar bersama rakan-rakan di sekolah kerana mudah untuk berbincang berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.


Pengarang :