BUDAYARENCANA

Bayi humanoid

Oleh Adam Taufiq Suharto

Ilustrasi Matarojit

PADA masa hadapan, manusia sudah tidak dapat hamil lagi. Saintis sendiri terus mencari-mencari apakah punca kepada masalah ini. Sama ada ia sumpahan Tuhan atau dek kerana kecuaian manusia sendiri. Sadisnya, saintis diminta mengetepikan dahulu pencarian punca dan penawar itu. Sebaliknya, para pemimpin dunia menggesa mereka mencari jalan lain kerana manusia sudah terdesak untuk membelai anak. Maka, para saintis lebih giat dan gian mencari formula untuk ‘mencipta’ bayi humanoid yang menyerupai 95.7 peratus manusia. Syarikat-syarikat sains dan teknologi lebih gian melabur dalam projek mencipta ‘bayi-bayi’ humanoid yang kemudiannya boleh dipasar dan didagangkan kepada mereka yang ‘hauskan’ belaian kasih kepada anak-anak berbanding melabur lebih untuk mengkaji punca dan mencari penawar kepada fenomena manusia tidak boleh hamil dan menghamilkan.

Melaui projek ini, pasangan yang baru berkahwin boleh membeli ‘bayi-bayi’ humanoid mereka sembilan bulan sebelum bayi-bayi humanoid tersebut diserahkan kepada ibu bapa yang membeli. Ini istimewa kerana mereka boleh memilih jantina yang diingini tetapi tidak boleh memilih rupa dan keturunan. Dikhabarkan pengedaran bayi-bayi humanoid ini sangat laku di Asia terutama negara-negara yang dihuni masyarakat konservatif yang hidup-matinya mesti berkeluarga. Majlis Bangsa-Bangsa Bersekutu menggesa pejabat-pejabat pendaftaran di seluruh pelosok dunia membenarkan bayi-bayi humanoid ini di-‘bin’ dan di-‘binti’ dengan nama bapa-bapa yang membeli mereka walaupun para ilmuwan terus melawan desakan ini.

Harga beli bayi-bayi humanoid ini terlalu mahal. Oleh itu, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selain perlu mengambil kira keperluan material untuk membeli rumah, sofa, perabot dapur, kereta, mereka juga perlu menyediakan wang untuk tujuan membeli ‘zuriat’ ini. Laporan-laporan Majlis Bangsa-Bangsa Bersekutu mendapati satu daripada tiga ibu mentua akan memastikan menantu lelaki mereka mampu membeli zuriat mereka daripada projek bayi humanoid.

Diberitakan individu pertama yang membuat pembelian bayi humanoid ini adalah manusia terkaya di dunia, Jepp Bersos, yang kemudian membawa bayi humanoidnya ke angkasa seawal usia tiga bulan untuk menjadikan zuriatnya sebagai manusia termuda ke angkasa lepas. Negara-negara membangun dan negara kurang membangun adalah yang paling lewat memiliki bayi humanoid sebagai zuriat mereka, Ini kerana masing-masing menunggu Rancangan Subsidi Pembelian Anak daripada pemerintah yang resamnya ibarat menunggu musang berjanggut.

Seorang Presiden negara membangun adalah antara orang pertama yang memperoleh anak menerusi pembelian bayi humanoid. Dikhabarkan dalam tempoh beberapa bulan, beliau telah membeli lebih sepuluh orang bayi humanoid. Namun, kontroversi melanda dalam tempoh itu. Media terus berteka-teki kerana mendapati sembilan orang anaknya yang tidak lagi kelihatan. Akhirnya selepas siasatan dibuat, polis negara tersebut mengesahkan sembilan orang anaknya tadi telah habis dibunuh oleh Presiden yang disyaki tidak tahan melayan kerenah anak-anak humanoidnya. Dalam satu kenyataan, Presiden itu mengatakan, “Saya yang beli anak-anak itu dengan duit saya. Suka hati sayalah saya nak buat apa!”

Beberapa hari kemudian satu protes jalanan berlaku, rakyat melepaskan kemarahan, “Sembilan orang anak yang dibunuh Presiden itu boleh membahagiakan sembilan pasangan marhaen yang murung kerana ketidakmampuan membeli anak. Tambah teruk lagi, sembilan orang itu dibeli dengan duit rakyat! Kami tuntut hak kami!” Setelah digulingkan, dek kerana tak punya harta lagi, Presiden tersebut menjual anak humanoidnya kepada salah seorang jutawan di negara itu.

Setelah 18 tahun sejak projek bayi-bayi humanoid diperkenalkan, masih tidak ada walau seorang saintis pun dapat mengeluarkan sebarang jawapan tentang mengapa manusia tidak lagi dapat hamil dan menghamilkan. Bayi-bayi humanoid terus membesar. Dikhabarkan di salah sebuah negara Asia, seorang remaja yang merupakan produk bayi humanoid, telah mendapat perhatian media kerana menyerang ibu bapanya yang disebutnya sebagai ‘rejim’ dan ‘diktator’.

Remaja humanoid itu menegaskan dalam satu sidang media, “Pada satu pagi yang hening, ayah menghalang saya daripada bertemu dengan teman wanita yang saya cintai. Katanya, perempuan itu tidak sama darjat dengan saya. Selain itu, ‘diktator’ itu memarahi saya kerana berkeras untuk belajar kesenian berbanding akaun.”

Seorang wartawan (dari kalangan manusia biasa) kehairanan, “Takkan kerana itu sahaja saudara bertindak menetak tangan ayah saudara sendiri?”

Remaja humanoid itu menangis dan menjawab, “Saudara-saudara bayangkan, lelaki yang selama 18 tahun saya panggil ayah itu berkata kepada saya: Aku beli kau mahal-mahal, sekarang kau nak melawan cakap aku! Tahukah kau nyawa kau di bawah tapak kaki aku?”

Remaja humanoid itu terdiam sebentar seraya berkata lagi, “Apakah saya dianggapnya sebagai seorang anak atau hamba sahaya? Apakah nilai saya sebagai anak dinilaikan dengan wang sahaja bukan sebagai manusia? Apakah hanya kerana kami merupakan komposisi robot, sisa genetik haiwan dan mayat manusia, kami tidak berhak memiliki pilihan hidup sendiri, dikasihi dan disantuni? Seluruh tubuh kami sama sahaja seperti manusia-manusia biasa. Kami juga punyai perasaan dan ber-Tuhan seperti kalian!”

Sidang media itu dikejutkan apabila remaja lelaki humanoid itu membuat pengakuan, bahawa teman wanitanya, yang juga merupakan humanoid telah hamil tiga bulan. Remaja humanoid dan teman wanitanya dibawa ke makmal di Republik Hamerika untuk ujikaji. Akhirnya saintis Hamerika membuat satu dapatan bahawa projek manusia humanoid benar-benar berjaya dan mereka sudah memiliki kemampuan lebih daripada manusia biasa yakni: hamil dan menghamilkan. Saintis meramalkan manusia normal Bani Adam akan pupus dan dunia diambil alih oleh manusia-manusia baru hasil projek bayi humanoid.

Presiden Kluster Kesihatan, Majlis Bangsa Bangsa Bersekutu dalam ucapannya dengan penuh emosional mengatakan, “Maka jika dahulu kita semua berprasangka dengan para saintis yang seolah-olah sengaja tidak mencari jalan supaya manusia biasa (atau homo sapien) dapat hamil semula, kita sebenarnya silap. Hakikatnya, jawapannya ada pada manusia-manusia humanoid yang dicipta saintis yang akan memberikan zuriat dan meneruskan kerja-kerja kita yang belum selesai sebagai khalifah di muka bumi.”

 

 


Pengarang :