Air kembali pulih di Seksyen 7, Shah Alam setelah kerja penyelenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap ketika tinjauan pada 15 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air 998 kawasan pulih 99.5 peratus setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 16 OKT: Pemulihan bekalan air di 998 kawasan terlibat naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 mencapai tahap 99.5 peratus setakat 12 tengah hari ini.

Berdasarkan infografik Air Selangor di Facebook, wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur telah pulih sepenuhnya.

Bekalan air di Klang pula pulih 99.6 peratus dengan baki lima kawasan belum pulih iaitu Meru, Aman Perdana, Kapar, Bandar Baru Bukit Raja dan Kampung Pulau Indah.

Air Selangor menjangkakan bekalan pulih sepenuhnya pada 9 malam hari ini.

Tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan air.

Syarikat itu turut menasihatkan pengguna yang menerima bekalan agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan lain berjalan lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.


Pengarang :