Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air di Sepang, Kuala Langat pulih 71.5 peratus takat 9 malam

SHAH ALAM, 19 OKT: Pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di Sepang dan Kuala Langat mencapai tahap 71.5 peratus setakat jam 9 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh pemulihan di setiap kawasan adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jika berdasarkan status pemulihan mengikut wilayah, bekalan air di Sepang sudah mencapai 74 peratus manakala Kuala Langat (69 peratus).

Terdahulu, kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Air Selangor berkata bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih jam 10 pagi esok dan tempoh pemulihan di kawasan terbabit berbeza bergantung lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.


Pengarang :