Sukarelawan Team Selangor mengangkat air minuman untuk diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang, Sungai Buloh pada 14 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air pulih 28 peratus setakat 7 pagi

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekalan air bersih ke 998 kawasan terbabit dengan kerja naik taraf aset Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencapai 28 peratus setakat jam 7 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan Kuala Selangor mencatat pemulihan tertinggi dengan 75.6 peratus diikuti Hulu Selangor (60.7 peratus), Petaling (60.4 peratus), Shah Alam (40.4 peratus) dan Klang (0.9 peratus).

Kawasan terlibat di Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat belum menerima bekalan air.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Beberapa kawasan berdekatan loji itu mula menerima bekalan air jam 7 petang semalam.

Pengguna di kawasan terbabit boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman sesawang dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :