Air Selangor menggiatkan usaha menghantar bantuan bekalan air kepada premis kritikal yang terjejas berikutan penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 mulai 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air pulih 50.6 peratus setakat 9 pagi

SHAH ALAM, 15 OKT: Lebih separuh daripada 998 kawasan terbabit dengan kerja naik taraf aset Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima bekalan air bersih setakat jam 9 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan pemulihan bekalan air itu mencapai 50.6 peratus dengan Shah Alam mencatatkan kadar tertinggi dengan 92.3 peratus diikuti Hulu Selangor (89.3 peratus) dan Kuala Selangor (75.6 peratus).

Petaling (73.3 peratus), Gombak (59.9 peratus) dan Klang (7.1 peratus). Kuala Lumpur serta Kuala Langat belum menerima bekalan air.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan,” katanya di Facebook.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Beberapa kawasan berdekatan loji itu mula menerima bekalan air jam 7 petang semalam.

Pengguna di kawasan terbabit boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman sesawang dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :