Air kembali pulih di Seksyen 7, Shah Alam setelah kerja penyelenggaraan aset kritikal loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 siap ketika tinjauan pada 15 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan air pulih 78 peratus setakat 3 petang

SHAH ALAM, 15 OKT: Pemulihan bekalan air di 998 kawasan terlibat naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 mencapai tahap 78 peratus setakat 3 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pemulihan bekalan di kawasan terlibat adalah berbeza mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Berdasarkan infografik agensi itu di Facebook, Hulu Selangor, Kuala Langat telah pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam mencapai tahap pemulihan lebih 98 peratus.

Gombak pula pada tahap 78 peratus, Kuala Lumpur 64.8 peratus dan Klang 24.8 peratus.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Beberapa kawasan berdekatan loji itu mula menerima bekalan air jam 7 petang semalam.

Pengguna di kawasan terbabit boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman sesawang dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :