Exco Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman menyampaikan cek cura kepada bekas atlet para ketika majlis pelancaran Ceria Atlet Para Selangor 2021 di Kampung Sungai Sekamat, Kajang pada 2 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bekas atlet para terharu Kerajaan Negeri bantu baik pulih rumah

KAJANG, 2 OKT: Pasangan suami isteri yang juga bekas atlet para terharu menerima bantuan baik pulih kediaman daripada Kerajaan Negeri melalui program Ceria Atlet Para Selangor 2021.

Bekas pemain boling padang negara, Halimah Hassan memuji keprihatinan Kerajaan Selangor yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada atlet dan bekas atlet di negeri ini.

“Saya terharu kerana jika difikirkan semula apa yang kita sumbangkan tidaklah sebanyak apa yang mereka berikan sekarang ini…syukur sangat kerana atlet seperti kami dihargai,” katanya selepas pelancaran program tersebut.

Halimah Hasan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Halimah pernah mewakili negara selama sembilan tahun dari 2006 hingga 2014 dengan pencapaian terbaik berjaya memenangi pingat emas di Kejohanan Fespic Para ASEAN 2006 dan pingat gangsa di Para ASEAN 2014.

Manakala suaminya Abd Jalal Abd Aziz yang juga bekas atlet ping pong para Selangor turut terharu menerima inisiatif Kerajaan Negeri membaik pulih rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapanya itu.

“Terima kasih kerana sudi membaiki rumah kami yang agak uzur ini termasuk memberi kelengkapan perabot serta mesin jahit,” katanya.

Beliau kini hanya bergantung pendapatan dengan mengambil upah membaiki televisyen atau radio manakala isteri menjahit pakaian wanita dan lelaki.

Hari ini, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman menghulurkan sumbangan perabot serta membaik pulih kediaman berjumlah RM195,450 kepada 50 atlet para dan bekas atlet menerusi program Ceria Atlet Para Selangor 2021.


Pengarang :