Wan Mohizan Wan Hussein Foto BERNAMA/Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
AGENDA

Bekas jurugambar hilang di laut ditemukan selamat di Pulau Kendi

BALIK PULAU, 13 OKT: Seorang nelayan yang juga bekas jurugambar sebuah akhbar bahasa Inggeris nekad berenang ke Pulau Kendi dekat sini selepas botnya terbalik akibat dipukul ombak semalam.

Nasibnya baik apabila dia yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan semalam ditemukan selamat oleh nelayan di pulau itu dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa Wan Mohizan Wan Hussein, 55, pada pukul 8.18 malam tadi.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kehilangan mangsa pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang dengan bantuan polis.

“Berdasarkan maklumat awal daripada nelayan, tiada petunjuk mengenai kedudukan mangsa atau bot di lokasi dan pihak kami menjalankan operasi di kawasan dipercayai mangsa selalu menangkap ikan dan operasi ditangguhkan pada pukul 11.30 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa pada 6.30 pagi tadi dan difahamkan Wan Mohizan yang memakai jaket keselamatan berenang ke Pulau Kendi sebaik bot yang dinaikinya terbalik.

Beliau berkata nelayan itu keluar ke laut pada pukul 3 petang semalam sebelum botnya terbalik dipercayai akibat dipukul ombak.

“Mangsa berenang ke Pulau Kendi sebelum diselamatkan nelayan dan dibawa ke Jeti Pantai Malindo, Jalan Kuala Sungai Burung di sini,”  katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :