Ibu bapa membawa anak mendaftar untuk menerima suntikan pelalian Covid-19 dalam program vaksin remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2022 HARAPAN: Bantu isi rumah, perniagaan terjejas pandemik Covid-19 jadi keutamaan 

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 27 OKT: Membantu isi rumah dan perniagaan yang terjejas kehidupan sepanjang dua tahun akibat pandemik Covid-19 antara keutamaan dalam strategi Belanjawan 2022 Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menerusi dokumen strateginya bertema ‘Pemugaran dan Memperkuat Semula’, HARAPAN menyeru suntikan dana segera berjumlah RM45 bilion untuk dana Covid-19 seperti dimeterai dalam Memorandum Persefahaman antara kerajaan persekutuan dan pembangkang.

Pecahan bagi suntikan dana seperti berikut:

-Peruntukan minimum RM4 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi menaiktaraf kapasiti dan keupayaan hospital termasuk kakitangan dan alat kelengkapan perubatan

-RM30 bilion bagi geran pembiayaan dan subsidi untuk sektor ekonomi.

-RM6 bilion untuk insentif pengambilan pekerja menerusi program Malaysia@Kerja sekali gus membantu sektor swasta mencipta peluang pekerjaan baru.

-Peruntukan RM5 bilion untuk isi rumah termasuk menggandakan bantuan kebajikan bulanan untuk menjamin kelangsungan hidup yang terkesan selama setahun. Contoh bantuan untuk B40 daripada RM800 kepada RM1,900.

Turut dicadangkan agar kerajaan memberi bantuan bulanan berjumlah RM100 untuk setiap anak yang tergolong dalam kumpulan isi rumah B40 dan M40. Hanya kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun layak menerima bantuan ini.

HARAPAN turut mencadangkan pengecualian faedah pinjaman kepada golongan isi rumah B50 dengan pendapatan kasar isi rumah kurang daripada RM5,880 sebulan.

Peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk pinjaman perniagaan dengan kadar faedah rendah untuk peniaga mikro, kecil dan sederhana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan proses permohonan yang mudah dan fleksibel.

Turut dicadangkan peruntukan berjumlah RM100 juta dalam bentuk Geran Padanan Pembukaan Semula Perniagaan PKS dan Mikro PKS sehingga RM20,000 untuk setiap penerima sebagai insentif membantu mereka memulakan kembali perniagaan yang terpaksa ditutup sepanjang pandemik.

Bagi mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial dicadangkan liputan caruman i-Suri diperluas kepada semua suri rumah selain memperluas dan melanjutkan caruman i-Saraan.

HARAPAN turut mencadangkan kerajaan memperuntukkan geran khas berjumlah RM1.035 bilion untuk kos operasi dan modal sekolah bagi 2022 di samping menambah baik kapasiti sekolah kalis pandemik.

Turut disyorkan penambahan nilai geran khas untuk Sabah dan Sarawak sebanyak empat kali ganda kepada RM106.8 juta (Sabah) dan RM64 juta (Sarawak).

Memperuntukkan RM1 bilion untuk membantu pembangunan grid elektrik di seluruh Sabah.

Mengusulkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) supaya garis kemiskinan kebangsaaan dikaji semula untuk memperolehi paras pendapatan had kemiskinan baharu yang lebih realistik dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19.


Pengarang :