ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee bercakap kepada Media Selangor ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Belanjawan 2022: Perluas tuisyen rakyat Selangor kepada semua kelas

KLANG, 31 OKT: Kerajaan Negeri disaran memperluaskan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada pelajar bukan dari kelas peperiksaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran berkata perkara itu boleh dipertimbang dalam Belanjawan 2022 kerana ramai pelajar terjejas susulan pembelajaran secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Pada masa ini PTRS hanya difokuskan kepada pelajar tingkatan lima kerana mereka akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya cadang supaya program itu juga diberi kepada yang lain.

“Utamakan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan kerana mereka tidak mampu mengikuti kelas tuisyen disediakan pihak swasta,” kata Leong Tuck Chee.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Pada 8 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.


Pengarang :