Dato’ Teng Chang Khim ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Belanjawan Selangor 2022 utama kebajikan rakyat

SUBANG JAYA, 23 OKT: Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kebajikan rakyat dalam Belanjawan Selangor 2022, meski berdepan cabaran kewangan akibat pandemik Covid-19, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata kaedah inovatif akan diguna dalam belanjawan supaya perbelanjaan penting bukan sahaja dapat dikekalkan malah merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

“Tahun depan merupakan tahun mencabar bagi seluruh negara termasuk Selangor dan kita jangka ada sedikit penurunan bajet memandangkan kewangan terkesan susulan pandemik.

“Tetapi kita boleh guna kaedah inovatif iaitu menyediakan belanjawan yang bukan sahaja dapat mengekalkan perbelanjaan penting sebaliknya merancakkan pembangunan ekonomi negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan bilik pameran hiasan dalaman dan jubin Yellow Box by Homa di Taman Perindustrian Subang di sini hari ini.

Selain itu, Chang Khim turut mencadangkan Kerajaan Negeri menganjurkan lebih banyak sesi webinar berbanding fizikal tahun hadapan bagi program melibatkan sektor industri dan perdagangan.

“Kita boleh perbanyakkan program atau mesyuarat menerusi dalam talian berbanding lawatan secara fizikal…dengan cara ini semua program dapat digerakkan meskipun dengan impak kewangan kecil,” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor dibuat pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.


Pengarang :