Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim, meninjau tapak cadangan jeti nelayan di Jeti Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bina jeti pendaratan ikan baharu, atasi kesesakan bot nelayan

SABAK BERNAM, 19 OKT: Kerajaan Negeri sedia mempertimbang cadangan pembinaan jeti pendaratan ikan baharu di Bagan Sungai Burong, Sungai Besar bagi mengatasi kesesakan di jeti sedia ada.

EXCO Pemodenan dan Industri Asas Tani memaklumkan kesesakan berlaku berikutan banyak bot nelayan tempatan kelas C (bersaiz besar) menurunkan hasil tangkapan di kawasan berkenaan.

“Saya tengok agak ngeri (kesesakan), jadi ada cadangan untuk buat jeti baharu. Insya-Allah kita boleh pertimbang, tetapi mesti dibuat secara bersama di bawah persatuan,” kata Ir Izham Hashim.

Keadaan lokasi tapak cadangan jeti nelayan di Jeti Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 18 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas melawat tapak cadangan projek pembinaan Jambatan Sungai Bernam kedua yang menghubungkan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di sini semalam.

Ir Izham berkata pihaknya akan meneliti reka bentuk pembinaan jeti terbabit mengikut keperluan dan kesesuaian.

“Kita akan lihat kewajaran untuk bina jeti yang lebih tersusun sekali gus membantu menyelesaikan masalah kesesakan agak serius di kawasan itu.

“Sudah pasti jeti tersebut akan diperbuat daripada konkrit dengan membandingkan dua kaedah sama ada (pembinaan) terus di pantai dan yang keluar ke laut,” katanya. 


Pengarang :