Pengembara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) menjalani pemeriksaan kesihatan. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Boleh melancong ke luar negara tanpa MyTravelPass mulai esok

SHAH ALAM, 10 OKT: Individu yang lengkap vaksin dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia mulai esok, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran termasuk bagi aktiviti pelancongan dengan individu berkenaan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebaik tiba di negara ini.

“Keputusan ini bertujuan menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata kerajaan masih menutup sempadan negara kepada pelancong luar kecuali bagi kes kecemasan dan urusan rasmi sahaja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menilai negara yang tidak berisiko. Sekarang banyak negara sudah beri vaksin kepada rakyat jadi akan pertimbang untuk buka,” kata Ismail Sabri.

MyTravelPass diperkenalkan pada 7 Oktober tahun lalu, iaitu permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara dan warga asing.

Khamis lalu, perdana menteri mengumumkan enam perkara sebelum membenarkan warga asing masuk iaitu jumlah kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari di negara itu dan kadar insiden per satu juta penduduk.

Selain itu, kadar kematian per satu juta penduduk, kadar kematian kumulatif, indeks pemulihan dan kes kumulatif Covid-19 di negara berkenaan.

 


Pengarang :