Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup kawasan pantai bagi hadapi fenomena air pasang besar pada 14 November 2020. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
AGENDANASIONAL

Bomba: Fenomena air pasang besar di lima daerah terkawal

SHAH ALAM, 7 OKT: Keadaan di kawasan pesisiran pantai di Selangor yang dilanda fenomena air pasang besar masih terkawal walaupun berlaku sedikit limpahan air di beberapa tempat, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis.

Beliau berkata limpahan air berlaku di Pantai Remis di Kuala Selangor; Jeti Pelabuhan Klang, Jeti Pulau Indah dan Telok Gong, Pelabuhan Klang; Jeti Tok Muda, Kapar; selain Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru, Bagan Nahkoda Omar, Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 3 di Sabak Bernam.

Norazam berkata fenomena air pasang besar dijangka berterusan membabitkan lima daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sepang dengan bacaan tertinggi dilaporkan hari ini adalah setinggi 5.6 meter pada 6.30 pagi tadi.

“Kami menasihatkan orang awam terutamanya yang tinggal di kawasan berkenaan agar mengambil maklum tentang tarikh yang dijangka berlakunya fenomena tersebut dan segera berpindah ke rumah saudara mara terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kuala Langat (MPKL) Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata anggotanya telah digerakkan bagi melakukan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti mengalami limpahan air laut.

Beliau berkata kawasan di bawah pemantauan MPKL adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Berdasarkan jadual air pasang surut, daerah ini dijangka mengalami paras air tertinggi pada esok hingga 9 Okt dengan ketinggian 5.6 meter sekitar 6.30 pagi hingga 7.40 pagi. Manakala pada 10 Okt menunjukkan penurunan dengan paras air tertinggi hanya 5.4 meter pada 8.13 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPKL akan menutup kawasan peranginan di pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk, selain orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dan kawasan yang terlibat.

-BERNAMA


Pengarang :