Selangorkini
Elmina Central Park menyediakan trek joging dan berbasikal yang dibuka kepada umum untuk pengunjung dari Lebuhraya Guthrie. Foto Tourism Selangor
PENDAPAT RENCANA

Bosan bersenam di rumah? Jom tukar angin riadah di lapan taman rekreasi

SHAH ALAM, 24 OKT: Bosan bersenam di kawasan perumahan anda? Apa kata ‘tukar angin’ pula? Jangan risau, Selangor ada banyak tempat rekreasi untuk anda berjoging mahupun berbasikal.

Selain bersenam, anda juga boleh membawa seisi keluarga beriadah sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Kali ini Tourism Selangor menyenaraikan lapan tempat rekreasi untuk dikunjungi selain meneruskan gaya hidup sihat.

1. Taman Tasik Shah Alam

Terletak berdekatan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz atau masjid biru, taman ini menawarkan hiasan landskap indah dan menghijau hasil rekaan artikel terkenal Fumiaki Takano.

Berkeluasan lebih 43 hektar, taman ini pertama dibuka di Selangor pada 1985 yang juga habitat kepada hidupan air tawar.

Keluasan dan keindahan seperti ini memberi ketengan kepada anda untuk melakukan senaman atau
berjoging ketika pagi hari.

2. Maya Park Eco Ardence, Setia Alam

Terletak di Bandar Setia, kawasan ini dilengkapi ruang terbuka serta menjadi pilihan pengunjung bagi menyaksikan pemandangan matahari terbenam, diiringi suasana tasik yang tenang.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan antaranya berjoging dan berbasikal di trek mengelilingi tasik. Anda yang tidak mempunyai basikal boleh menyewa kemudahan tersebut di sini.

3. River Track Cycle Park, Klang

Kawasan yang dikelilingi kehijauan di Klang ini pastinya memberi ketenangan minda, badan dan jiwa. Nikmati panorama hutan bakau semula jadi untuk meningkatkan persekitaran yang sihat dan lestari.

Laluan sepanjang 1.8 kilometer di tebing Sungai Chandong Besar sesuai untuk berjoging. Nikmati juga aktiviti berbasikal di trek sepanjang tiga kilometer yang dikelilingi pemandangan menarik.

Persekitaan yang tenang ini akan menjadikan pengalaman berbasikal dan berjoging lebih seronok.

4. Elmina Central Park, Shah Alam

Hanya setengah jam pemanduan dari Kuala Lumpur, taman ini menyediakan trek joging dan berbasikal yang dibuka kepada umum untuk pengunjung yang datang dari Lebuhraya Guthrie.

Selain aktiviti senaman, anda juga boleh membawa anak-anak ke taman permainan dan berjalan di kawasan pejalan kaki sambil menikmati pemandangan yang cukup indah.

5. Perdana Lake, Jogging Track, Sunrise Point, Cyberjaya


Habiskan waktu pagi anda dengan bersenam di taman ini kerana ia menenangkan di samping memberi keselesaan kepada anda untuk bersenam mahupun riadah bersama keluarga.

Di sini anda boleh berjoging sambil melihat keindahan tasik yang sangat luas sambil menghirup udara segar. Trek joging dan berbasikal yang sangat luas pastinya memberi keselesaan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkelah di tepi trek tersebut.

6. Ara Damansara Park, Petaling Jaya

Taman rekreasi ini memiliki pelbagai kemudahan termasuk gelanggang badminton, bola keranjang dan taman permainan selain trek joging sepanjang 1.9 kilometer.

Ramai pengunjung juga membawa anak kecil untuk bermain di taman permainan yang disediakan di sini.

7. Dragonfly Park, Eco Grandeur, Puncak Alam

Lokasi yang sangat cantik untuk beriadah pada waktu petang dengan pemandangan yang luas dipenuhi kehijuan dan kawasan rumah urban yang sangat cantik.

Laluan trek jogingnya mungkin tidak sepanjang trek taman awam yang lain, namun ia tetap memberi kepuasan, di samping anda dapat menikmati keindahan sekeliling.

Taman yang tidak terlalu ramai pengunjung ini sesuai sekiranya anda ingin membawa anak kecil
untuk berbasikal.

 

8. Taman Jaya, Petaling Jaya

Terletak di lokasi yang sangat strategik, anda boleh pergi ke sini dengan menaiki pengangkutan awam iaitu LRT dan turun di Stesen Taman Jaya.

Taman rekreasi ini popular dalam kalangan penduduk Petaling Jaya untuk berjoging dan beriadah kerana dikelilingi suasana tenang dan pelbagai jenis pokok dan tasik. Lokasi ini juga menjadi
tempat anak muda meluangkan masa bermain papan selaju.

Layari laman sesawang www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube. #PusingSelangorDulu.


Pengarang :