EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) memantau persediaan tatacara operasi piawai (SOP) sebelum pembukaan semula Taman Tema Sunway Lagoon, Subang Jaya pada 7 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Buka semula pelancongan domestik beri sinar baharu buat penggiat

SUBANG JAYA, 5 OKT: Pembukaan semula sektor pelancongan domestik secara berperingkat dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar baharu buat penggiat industri di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu memberi kesan ketara terhadap industri pelancongan negara amnya dan Selangor khasnya.

“Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa fasa yang kemudiannya diikuti dengan PPN telah menjejaskan operasi dan pendapatan penggiat industri pelancongan negeri.

“Ini terbukti bila penggiat industri menghadapi pembatalan tempahan bilik, penganjuran acara, pakej pelancongan dan perkhidmatan lain. Justeru, peralihan ke fasa tiga PPN mampu memberi nafas baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Selangor  ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober yang memberi kelonggaran kepada rakyat lengkap vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Sementara itu, Loy Sian turut menyenaraikan beberapa aktiviti dibenarkan melibatkan premis pelancongan di Selangor antaranya:

1. Hotel dan inap desa
2. Zoo, taman tema, selam, akuarium, taman negara
3. Premis hasil seni budaya dan warisan, muzium perpustakaan, galeri
4. Pusat hiburan keluarga


Pengarang :