Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cadangan penjara seumur hidup, sebat seludup migran

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Hukuman bagi kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dicadang dinaikkan daripada penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, kepada pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

Selain itu, pindaan juga melibatkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Ismail berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sidang Parlimen ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :