Selangorkini
Foto Facebook Lee Kee Hiong
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan sebagai kawasan warisan bantu Kuala Kubu Bharu jadi tapak Unesco

SHAH ALAM, 22 OKT: Cadangan Kerajaan Negeri mengangkat Kuala Kubu Bharu sebagai kawasan warisan negara menyokong usaha mencalonkannya sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ahli Dewan Negerinya berkata langkah itu dapat memulihara nilai sejarah yang ada pada daerah itu antaranya deretan kedai lama berusia 100 tahun di Pekan Kuala Kubu Bharu.

Menurut Lee Kee Hiong pemuliharaan bangunan dan lokasi bersejarah di daerah itu pastinya dapat menyokong usaha menyenaraikan Kuala Kubu Bharu sebagai tapak Unesco pada masa depan.

“Ini juga bakal menjadi tarikan baharu pelancongan, jika dahulu bila sebut Kuala Kubu Bharu orang ramai pasti membayangkan sungai untuk mandi-manda.

“Tetapi jangan dilupa tarikan sejarah sini serta kekayaan seni yang kami terapkan sejak sekian lama untuk menarik pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Pada 10 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kuala Kubu Bharu bakal didaftar sebagai kawasan warisan negara sekali gus menjadi tarikan baharu di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pendaftaran sedang dilakukan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Kee Hiong menjelaskan berdasarkan jawapan sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini, kajian mendapati usaha mencalonkan Kuala Kubu Bharu sebagai tapak Unesco secara bersendiri adalah tidak kukuh.

“Kajian mencadangkan pencalonan bersama tapak lain seperti pencalonan Melaka dan Georgetown,” katanya.


Pengarang :