Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes sembuh harian rekod lebih 9,000

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sebanyak 9,178 kes sembuh Covid-19 dicatatkan hari ini berbanding 5,828 kes baharu dengan 98.3 peratus atau 5,731 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah keseluruhan kes baharu itu hanya 1.7 peratus atau 97 kes merupakan dalam kategori tiga, empat dan lima.

Menurut Dr Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 620 kes dengan 297 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata dua kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu di Johor dan Sabah, kedua-duanya merupakan kluster tempat kerja.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.87 dengan Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan satu-satunya negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA

 


Pengarang :