Rumah Hutan Bonda di Batang Kali. Foto ihsan Tourism Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Serendah ke Kalumpang, lima lokasi bermalam kaya alam semula jadi

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 5 OKT: Setelah beberapa bulan duduk di rumah, akhirnya Selangor melangkah ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara. Pastinya orang ramai gembira atas berita baik ini khususnya yang lengkap dos vaksin Covid-19.

Sejak kebelakangan ini, aktiviti bermalam menjadi trend bagi pelancong domestik khususnya pada cuti hujung minggu. Di samping bersantai bersama yang tersayang, anda juga boleh menghasilkan video di media sosial untuk menarik perhatian pengikut anda.

Selaras kempen Pusing Selangor Dulu!, Tourism Selangor berkongsi lima lokasi menarik untuk dikunjungi bagi menenangkan fikiran sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

1. Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan berkonsepkan gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”.

Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan jika anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan.

Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.

2. Sri Damai Resort, Kalumpang


Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak serta kolam memancing bagi yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung.

Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti
aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.

3. Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang


Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ia pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semula jadi dan menghirup udara segar.

Apa yang lebih menarik di sini adalah, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti
berkayak, merentas hutan, berbasikal dan banyak lagi sambil merakam detik kegembiraan bersama orang tersayang.

Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

4. Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Hulu Selangor iaitu Rumah Hutan Bonda.

Ia menampilka konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya. Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semula jadi.

Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

5. PulaiThree, Kuala Kubu Bharu


PulaiThree merupakan lokasi percutian di pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian.

Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar.

Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik. Tempah masuk sahaja ke lokasi yang disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti.

Anda juga boleh layari laman sesawang www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #ImagineNowExperienceSoon.


Pengarang :