Kelihatan seorang penganut Hindu lengkap memakai pelitup separuh muka ketika beribadat di Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasathanam, Batu Caves yang turut kelihatan lengang pada tinjauan sambutan Deepavali pada 14 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Deepavali: Hanya individu lengkap vaksin dibenar sembahyang di rumah ibadat

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Individu yang lengkap divaksin Covid-19 sahaja dibenarkan menyertai aktiviti keagamaan dan sembahyang di rumah ibadat sempena perayaan Deepavali pada 4 Nov.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan semalam menyatakan, tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan adalah berbeza mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut kenyataan itu, bagi rumah ibadat yang berada dalam Fasa Tiga PPN, had kehadiran tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat dengan mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang daripada satu meter.

“Tempoh waktu keagamaan dan sembahyang dibenarkan antara pukul 6 pagi dan 2 petang serta antara pukul 4 petang dan 10 malam. Pemberian makanan pula hanya dibenarkan secara berbungkus dan makan di rumah ibadat tidak dibenarkan.

“Bagi rumah ibadat yang berada dalam Fasa Empat PPN, saiz ruang sembahyang juga mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang daripada satu meter, aktiviti keagamaan dan sembahyang dibenarkan mengikut tempoh waktu ditetapkan rumah ibadat dan pemberian makanan hanya secara berbungkus,” menurut kenyataan tersebut.

Negeri di Fasa Tiga PPN ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Selangor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka berada di Fasa Empat PPN.

Kenyataan itu turut menyatakan, aktiviti perarakan adalah tidak dibenarkan dan bazar jualan Deepavali dibenarkan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga dan aktiviti ziarah kubur dibenarkan hanya untuk penerima vaksin lengkap sahaja,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique menyeru masyarakat India di negara ini supaya menyambut Deepavali dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan memastikan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :