Michelle Ng Mei Sze (kanan) bercakap kepada media dalam program Pengasingan Sisa Dari Rumah DUN Subang Jaya di Kabin Komuniti Rukun Tetangga (KRT) USJ 2, Subang Jaya pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dua tangki statik bantu tampung bekalan air warga Subang Jaya

SUBANG JAYA, 9 OKT: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan dua tangki air khusus buat penduduk di beberapa kawasannya susulan kerja naik taraf aset bekalan Rabu ini.

Tangki statik yang boleh menyimpan lebih 3,600 liter air setiap satu terletak berhampiran Taman Rekreasi Hutan Bandar USJ 3C untuk kegunaan penduduk USJ 3A hingga 3D, kata Michelle Ng Mei Sze.

“Selenggara kali ini tidak melibatkan banyak penempatan. Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) akan isi bekalan antara malam 13 Oktober atau pagi 14 Oktober. Harap ia mencukupi,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan program Pengasingan Sisa Dari Rumah DUN Subang Jaya hari ini menambah pihaknya turut menggerakkan sukarelawan bagi memantau kebajikan penduduk terjejas.

Michelle juga meminta orang ramai tidak bimbang berikutan penambahbaikan loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 berjalan lancar dan diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Semua diaudit dan teratur,” katanya lagi.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.


Pengarang :