ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Batang Kali tawar khidmat bawa pesakit hadir janji temu hospital

SHAH ALAM, 3 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menawarkan perkhidmatan sukarelawan bagi membawa pesakit menghadiri janji temu di hospital awam terpilih.

Pegawai penyelarasnya berkata khidmat Batang Kali CAR-e yang dilancarkan kelmarin dengan kerjasama Sukarelawan Selangor (SUKA) mengutamakan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Saifuddin Shafi Muhammad menjelaskan sukarelawan terbabit akan membawa pesakit berkenaan ke Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Saya sering memikirkan cara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk Batang Kali, begitu juga dengan peluang dan hak mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lengkap.

“Justeru, kita memperkenalkan inisiatif ini dengan sasaran 60 pesakit dibawa ke hospital untuk menghadiri janji temu rutin biasa termasuk dialisis bermula Oktober hingga Disember tahun ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan kunjungan rutin ke rumah pesakit yang terlantar dan memerlukan perhatian dari semasa ke semasa.

“Diharap pelaksanaan program ini dipermudahkan dan membantu mereka yang selama ini sukar untuk memenuhi janji temu perubatan serta mendapatkan rawatan,” katanya.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan CAR-e boleh menghubungi 011-74742008 dengan mengemukakan nama, alamat, nombor kad pengenalan dan salinan janji temu 14 hari lebih awal.


Pengarang :