Mazwan Johar (kiri) menyampaikan komputer riba kepada seorang pelajar (tengah) di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal pada 28 September 2021. Foto ihsan Mazwan Johar
ADNSELANGOR

DUN Sungai Ramal belanja RM15,000 sumbang komputer riba kepada pelajar

SHAH ALAM, 2 OKT: Sebanyak RM15,000 dibelanjakan untuk sumbangan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal pada 28 September lalu.

Wakil rakyatnya berkata bantuan peranti jenis HP berharga RM1,500 seunit memberi manfaat untuk 10 penerima iaitu pelajar sekolah termasuk individu yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti tidak lama lagi.

“Komputer riba sangat penting untuk mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian selain melakukan tugas diberikan guru dan tenaga pengajar.

“Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19,” kata Mazwan Johar kepada Selangorkini.

Beliau juga menasihati mereka supaya menggunakan kemudahan tersebut sebaiknya dan mengelak melakukan perkara tidak berfaedah.

“Jangan sesekali guna komputer riba ini untuk bermain permainan dalam talian sebaliknya fokus kepada pelajaran. Saya berdoa agar anak-anak ini berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti,” katanya.

 


Pengarang :