Anggota polis memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Duta bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri ketika tinjauan pada 13 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat peratus lagi untuk benarkan rentas negeri, kata Khairy

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Aktiviti rentas negeri dijangka akan dibenarkan semula tidak lama lagi, selepas kadar vaksinasi kepada populasi dewasa negara kini semakin menghampiri 90 peratus.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter rasminya hari ini menyatakan sehingga semalam, kadar populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi kini mencapai 86 peratus.

“Dengan lebih banyak pergerakan, akan berlakunya lebih banyak perhimpunan. Kita perlu mengambil tanggung jawab terhadap tindakan kita. Jika anda menunjukkan simptom, dapatkan kit ujian dan uji diri. Jika positif, asingkan diri secepatnya,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan rentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima vaksinasi lengkap, berdasarkan kepada data dan analisis Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengikut portal KKM CovidNow hari ini, sejumlah 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin Covid mereka semalam, bermakna hanya tinggal kira-kira 3.2 peratus lagi untuk mencapai kadar 90 peratus vaksinasi populasi dewasa.

-BERNAMA

 


Pengarang :