Pantai Bagan Lalang di Sepang menjadi tumpuan ramai untuk beriadah selain pengunjung boleh berjalan ke tengah laut untuk melihat anak ketam berkeliaran atas pasir. Foto ihsan Tourism Selangor
PENDAPATRENCANA

Enam pantai boleh dikunjungi untuk aktiviti santai hujung minggu

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor kini berada dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara, justeru ramai yang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan atau keluarga.

Apatah lagi individu yang lengkap dos vaksin dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan dalam negeri antaranya melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam.

Tourism Selangor berkongsi enam lokasi pantai yang boleh dikunjungi untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama yang tersayang dengan pelbagai aktiviti menarik.

1. Pantai Remis, Kuala Selangor

Terletak 20km di bahagian selatan Kuala Selangor, pantai ini dikatakan ‘kembali bernyawa’ setelah Selangor beralih ke fasa tiga. Pantai ini merupakan salah satu lokasi ekopelancongan yang semakin digemari, malah sentiasa dibanjiri pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

2. Pantai Kelanang, Banting


Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru.

Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini.

3. Pantai Cunang, Kuala Langat


Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan di Tanjung Sepat. Pantai Cunang dipenuhi pasir memutih sepanjang kawasan hutan bakau.

Pantai ini kawasan rehat tradisional yang diusahakan masyarakat peribumi Mah Meri dan kini menjadi salah satu destinasi pelancongan di Selangor. Ia dihiasi rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan kedai kraftangan. Anda juga boleh memancing dan berbasikal di pantai ini.

4. Pantai Bagan Lalang, Sepang

Kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian kegemaran seisi keluarga.

Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir.

Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut.

5. Pantai Redang, Sekinchan


Sekiranya anda berada di Sabak Bernam dan inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula?

Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan segar. Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk berehat.

6. Pantai Morib, Banting


Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer? Pantai ini terletak di Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih sejam dari Klang.

Pantai ini amat popular dengan aktiviti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut.

Jika anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan seterusnya, kunjungi pantai-pantai yang terdapat di Selangor pada cuti hujung minggu anda, namun kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Layari laman sesawang www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor atau ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas kini. #PusingSelangorDulu.


Pengarang :