SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan Negeri membangunkan enam projek Rumah Idaman untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.
Projek dengan kerjasama anak syarikat LBS Bina Group, MGB Berhad dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000
Katanya, Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.
“Lokasi Rumah Idaman juga mudah diakses melalui lebuh raya selain dekat dengan hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam yang memberi nilai tambah dalam kehidupan.
“Kita berharap Rumah Idaman ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Selangor untuk membina kehidupan lebih bermakna,” katanya dalam pengumuman khas di Facebook rasminya hari ini.
Amirudin berkata daripada enam projek itu, Rumah Idaman di Bandar Saujana Putra akan dilancarkan pada November tahun ini dan dijangka siap penghujung 2024.
Maklumat terkini berkaitan Rumah Idaman boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.