Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika tinjauan kerja menaik taraf jalan raya di Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 500km paip usang diganti, atasi isu kebocoran

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri sudah mengganti lebih 500 kilometer (km) paip usang melibatkan peruntukan sebanyak RM500 juta, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kerja menaik taraf sistem saluran air itu dilaksanakan sejak 2016 melibatkan penggantian 150km paip bagi setiap tahun.

“Kebanyakan paip lama yang dikenal pasti untuk diganti menggunakan paip jenis simen asbestos dan paip jenis ini ada lebih 6,000 km di seluruh Selangor dengan usianya lebih 40 tahun.

“Kos bagi satu kilometer penggantian paip dianggarkan RM1 juta,” katanya kepada SelangorKini selepas meninjau kerja menaik taraf jalan empat lorong di jalan Kampung Lombong di sini, hari ini.

Izham berkata kerja penggantian bukan sahaja melibatkan paip malah beberapa struktur lain yang berhubung kait dengan paip berkenaan.

“Sistem lain yang usang juga perlu diganti dan proses ini dibawah inisiatif air yang tidak terhasil yang mana inisiatif ini dapat menjimatkan wang dari air yang hilang akibat kebocoran,” katanya.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja penggantian di negeri ini memfokuskan kawasan berisiko tinggi termasuk lokasi kerap mengalami tekanan air tidak stabil.


Pengarang :