Persembahan kumpulan nasyid Hijjaz pada Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz all-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441H/2020M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Bantu kumpulan nasyid, promosi rakaman persembahan di media sosial

BANTING, 17 OKT: Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kumpulan nasyid terjejas pandemik Covid-19 untuk bantuan promosi rakaman persembahan di platform laman sosial.

EXCO Kebudayaan dan Warisan berkata nasib penggiat seni itu perlu dibela berikutan tidak berpeluang membuat persembahan secara fizikal sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Kita sudah minta persatuan nasyid di setiap daerah untuk kenal pasti (kumpulan nasyid) yang masih aktif. Memandangkan mereka ada studio sendiri, mereka dicadang buat rakaman persembahan dan kita bantu promosi dalam bentuk media massa.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bercakap kepada media dalam Program `World Food Day 2021′ Makanan Tradisi Negeri Selangor di Kampung Sungai Lang Tengah, Banting pada 16 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Malah, cadangan ini (promosi di media sosial) sudah diangkat kepada Upen (Unit Perancang Ekonomi Negeri). Insya-Allah, akan dapat dilaksanakan dan memberi kelegaan kepada penggiat kumpulan nasyid,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian pada program Visit MyKampung @ Homestay Kampung Sungai Lang Tengah sempena Hari Makanan Sedunia 2021 di sini semalam.

Borhan menjelaskan kebanyakan kumpulan nasyid terkesan dengan pandemik di negeri ini merupakan penggiat seni yang sudah popular.

“Berdasarkan semakan, kumpulan nasyid yang terjejas bukan biasa-biasa tetapi kebanyakannya popular. Jadi, kita lihat ada peluang untuk bantu mereka,” katanya.

6 September lalu, Borhan berkata Selangor memberi dana tambahan RM250,000 bagi membantu kumpulan nasyid terkesan wabak.

Jumlah sama turut diperuntuk bagi membela nasib pemuzik jalanan dengan menempat golongan terbabit di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.


Pengarang :