Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memotong pagar yang menjadi lokasi tempat pembuangan sampah haram sambil diperhati EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han (kiri) di Jalan TK 5/27 Taman Mawar, Puchong pada 8 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Kes tapak pembuangan sampah haram di Selangor turun

SHAH ALAM, 22 OKT: Statistik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor menunjukkan bahawa kes-kes berkaitan tempat pembuangan sampah secara haram di Selangor mencatatkan penurunan ketara daripada 1,983 kes pada tahun 2019 kepada 874 kes tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han.

Dalam kenyataan semalam beliau berkata penurunan sebanyak 56 peratus itu jelas amat signifikan, yang membuktikan bahawa kerajaan Selangor berada pada landasan yang tepat bagi membendung masalah sampah haram ini.

Katanya perkembangan ini menunjukkan bahawa tiada korelasi yang jelas untuk mengaitkan isu sampah haram dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang tidak diterima pakai di Selangor.

Menurutnya berdasarkan statistik berkenaan, akta-akta sedia ada dan tindakan penguatkuasaan oleh PBT didapati memadai buat masa ini untuk menangani isu tempat pembuangan sampah haram di Selangor.

Ng berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan yang dilaporkan media sebagai berkata terdapat lambakan tapak pelupusan sampah haram di Selangor berikutan negeri ini tidak tertakluk pada Akta 672 itu.

Beliau menambah kenyataan Mohd Zain itu adalah kurang tepat, berat sebelah dan tidak berlandaskan fakta.

– BERNAMA


Pengarang :