AGENDANASIONAL

Gangguan bekalan air akibat kerja baik pulih aset, tergendala sejak 2019

SHAH ALAM, 1 OKT: Orang ramai diminta bersiap sedia terhadap gangguan bekalan air selama tiga hari berikutan kerja menaik taraf sistem bekalan demi keselesaan pengguna pada masa depan.

Gangguan mulai jam 9 pagi pada 13 Oktober yang dijangka pulih jam 5 petang pada 14 Oktober itu berikutan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal yang tertangguh sejak 2019 akibat insiden pencemaran.

Sebanyak 998 kawasan terlibat meliputi kawasan sekitar Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langar dan Kuala Selangor.

Sepanjang gangguan itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menggerakkan 105 lori tangki ke kawasan terjejas terutama hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Agensi juga akan menyediakan 18 pili awam mulai 14 hingga 16 Oktober bagi memudahkan pelanggan mendapat bekalan air bersih sementara proses pemulihan berlaku.

“Empat stesen pengisian air setempat turut dibuka kepada pelanggan komersial yang mahu membeli air menggunakan lori tangki. Bayaran boleh dibuat di 10 kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

“Pelanggan terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang gangguan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam 16 Oktober dan tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Orang ramai boleh mendapatkan senarai lengkap kawasan terjejas serta lokasi pili air dan stesen pengisian air setempat di pautan hentitugas.airselangor.com .

Maklumat semasa gangguan bekalan air berjadual ini juga boleh didapati di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter atau hubungi talian 15300 dan www.airselangor.com.

 

 


Pengarang :