Saifuddin Shafi Muhammad meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Bergerak DUN Batang Kali di Pusat Khidmat Rakyat Batang kali, Hulu Selangor pada 7 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hampir 4,000 penduduk Batang Kali dapat vaksin negeri

HULU SELANGOR, 7 OKT: Sekitar 3,800 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat ini.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata jumlah itu merangkumi peserta bagi Selvax Komuniti dan Selvax bergerak anjuran Kerajaan Selangor.

“Sambutan amat menggalakkan dan setakat ini kita dapati lebih kurang 70 ke 80 peratus penduduk dewasa di Batang Kali lengkap divaksin.

“Terima kasih Kerajaan Negeri menganjurkan program yang amat besar ertinya kepada penduduk di sini, semoga inisiatif ini diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui pada program Selvax bergerak DUN Batang Kali di pekarangan pusat khidmatnya hari ini.

Saifuddin berkata sebanyak 608 dos disediakan melalui program itu dengan sasaran peserta dalam kalangan warga asing yang tiada pengenalan diri.

“Kita mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri mahu menambah lagi dos vaksin di DUN Batang Kali sekali gus berusaha mencapai imuniti kelompok,” katanya lagi.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :