Petugas kesihatan memanggil pelajar untuk menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 80 peratus pelajar 12-17 tahun terima satu dos vaksin

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Hampir 80 peratus pelajar berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 hingga kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelaksanaan program vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula pada awal September lepas.

Jelasnya, KPM dan KKM telah mengadakan perbincangan bagi meneliti pendekatan terbaik untuk menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah KPM dan maklumat tersebut boleh dikongsikan kepada umum sepertimana data vaksinasi yang lain.

“Alhamdulillah, hari ini KKM melancarkan fitur baharu mengenai perincian vaksinasi bagi peringkat sekolah di bawah KPM dalam laman sesawang COVIDNOW.

“Melalui fitur baharu ini, ibu bapa atau penjaga boleh membuat semakan mengenai kadar vaksinasi murid bagi sekolah anak masing-masing. Semakan boleh dibuat melalui pautan https://covidnow.moh.gov.my/school,” katanya.

Radzi berkata usaha tersebut dapat menyediakan maklumat telus kepada masyarakat khususnya ibu, bapa serta penjaga dan juga sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endemik.

– BERNAMA


Pengarang :