Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika sesi soal lisan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 20 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menggandakan usaha menyiasat Kertas Pandora membabitkan individu berpengaruh yang didakwa memiliki akaun luar pesisir.

Tindakan itu untuk menentukan sama ada duit terbabit berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang, tegas majlis presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan ketua pembangkang sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Dalam kenyataan sama, majlis presiden terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

Tegas mereka, sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan turut dibayar meski kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegas HARAPAN.


Pengarang :