Selangorkini
Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: Selangor lebih awal laksana sistem FTTIS

SHAH ALAM, 13 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata negeri itu lebih awal melaksanakan sistem FTTIS (kenal pasti, uji, kesan, kuarantin dan sokong) yang bakal dilaksanakan kerajaan persekutuan bagi mengawal penularan Covid-19.

Pengarahnya berkata Kerajaan Negeri lebih awal menyahut tuntutan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam melaksanakan sistem berkenaan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), lapor Malaysia Gazette.

Azli Yusof menjelaskan walaupun agak terlewat, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu yang terbukti banyak membantu mengawal penularan wabak khususnya di Selangor.

“Data dan maklumat diperolehi FTTIS sangat berguna untuk mengenalpasti dan mengawal penularan wabak secara bersasar dan berkesan.

“Ia juga membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pemberian vaksin secara menyeluruh melalui program Vaksinasi Selangor (Selvax) kepada rakyat Selangor sekali gus membantu kerajaan persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya.

Azli menambah Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) yang terdiri dari pakar perubatan berkaitan telah lama mendesak, memberi nasihat dan advokasi agar KKM memberi keutamaan dalam melaksanakan FTTIS dengan kadar segara.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM bakal melaksanakan sistem yang dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Katanya, sistem yang dituntut WHO itu akan mengurangkan masa antara mereka yang didapati positif Covid-19 sehinggalah menerima rawatan atau pemantauan daripada KKM.


Pengarang :