Selangorkini
AGENDA NASIONAL

HARAPAN sokong pinda perlembagaan, perkukuh hak rakyat Sabah, Sarawak

SHAH ALAM, 22 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyokong niat kerajaan membawa usul pindaan
Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada minggu hadapan.

Majlis Presiden memaklumkan sokongan dua pertiga kepada pindaan itu akan diberikan agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan.

“Pakatan Harapan pada dasarnya bersetuju menyokong usaha kerajaan ini memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan.

“Pakatan Harapan tidak akan bermain politik tetapi akan berikan sokongan dua pertiga kepada pindaan perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan.

“Kami berharap pindaan ini akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan dibuat bersama oleh Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Marius Tangau.

Tambah kenyataan itu pendirian ini adalah sebahagian dari usaha pimpinan HARAPAN sejak sekian lama termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

“Serta pendirian DAP menerusi Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah dan menurunkan status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.

“Pakatan Harapan akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan
Sarawak,” katanya.

Pada Selasa, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah bersetuju dengan cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Pengarang :