Suasana dewan ketika Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyampaikan ucapan perasmian pembukaan persidangan pertama, penggal keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, Melaka pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN tolak bubar DUN Melaka, elak gelombang keempat wabak Covid-19

SHAH ALAM, 12 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menolak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebagai tidak berperlembagaan ketika negeri itu masih berdepan wabak Covid-19.

Majlis Presiden HARAPAN dalam satu kenyataan berpendirian penolakan itu juga berikutan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

“Oleh demikian Pakatan Harapan menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman (Md Ali) selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka.

“Beliau telah jelas hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri Melaka,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.

Kenyataan menegaskan perbincangan patut diadakan terlebih dahulu antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman sebelum menamakan pemegang jawatan tersebut.

“Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” katanya.

HARAPAN mengulangi pendirian bahawa pilihan raya negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran kalangan pelabur pada
ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat,” kata kenyataan itu.

Semalam Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Kamel Mohamad dalam kenyataan memaklumkan Sulaiman mengetuai kerajaan sementara Melaka.

Pembentukan kerajaan sementara itu susulan pembubaran DUN Melaka setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lalu.


Pengarang :