Khairy Jamaluddin bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Himpunan, majlis sosial pilihan raya dilarang esok hingga 27 November

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 27 November ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM), antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster Covid-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Katanya, KKM menjangka aktiviti ini akan banyak diadakan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

“Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes baharu yang dilaporkan, aktiviti itu akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya

Isnin lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

Jelas Khairy larangan ini selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) SOP Fasa Empat yang terkini.

Tegasnya sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya.

Ia juga menurutnya berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, menjadikan aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Subperaturan 10(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

-BERNAMA


Pengarang :