Ibu bapa membawa anak mendaftar untuk menerima suntikan pelalian Covid-19 dalam program vaksin remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ibu bapa boleh semak status vaksinasi sekolah anak menerusi COVIDNOW

SHAH ALAM, 10 OKT: Ibu bapa boleh menyemak tahap peratusan vaksinasi sekolah anak-anak menerusi laman sesawang COVIDNOW bermula hari ini.

Menerusi pautan https://covidnow.moh.gov.my/school ibu bapa hanya perlu memasukkan butiran nama sekolah anak masing-masing bagi mengetahui status tahap vaksinasi sekolah mereka.

Sebagai contoh, tahap vaksinasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak untuk pelajar yang lahir 2009 atau sebelumnya setakat ini bagi sekurang-kurangnya satu dos adalah 39.8 peratus. Manakala lengkap menerima pelalian pula 0.6 peratus.

Berdasarkan semakan SelangorKini, status pelalian kakitangan sekolah juga turut dimaklumkan di mana sebagai contoh 97.6 peratus staf SMK Seri Gombak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 96.8 peratus telah lengkap vaksinasi.

Data setakat semalam itu juga turut menyenaraikan pecahan mengikut kumpulan di mana 100 peratus pelajar yang lahir pada 2003 atau sebelumnya di sekolah itu telah lengkap menerima pelalian.

Menerusi laman sesawang itu turut dimaklumkan ciri pencarian sekolah itu dibangunkan secara bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi sekolah yang tidak disenaraikan di dalam carian itu, pihak pentadbiran sekolah boleh menghantar e-mel kepada [email protected] dengan subjek ‘COVIDNOW Inclusion’ untuk disenaraikan.


Pengarang :